KISAH SEORANG BEKAS PELARIAN
Hishamuddin Rais
Tujuh tahun dahulu satelah bosan berulang alik mengikuti lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban, saya telah cuba mencari jalan baru untuk pulang ke Jelebu. Satu petang, semasa tercari-cari jalan keluar ke Kuala Lumpur di daerah Broga Semenyih, saya terserempak dengan sebuah bangunan. Saya terperanjat besar. Struktur bangunan seperti ini telah selalu saya lihat dalam filem.
Kerana saya ini tahi wayang, maka saya jangkakan bangunan tersergam di pinggir jalan kecil ini pastilah sebuah ’set’ filem perang Dunia ke 2. Mana tahu, mungkin Stanley Kubrik pembuat filem yang kuat menyimpan rahsia tentang filemnya, secara diam-diam telah datang membuat penggambaran di Broga.
Anggapan saya ini tidak mungkin salah kerana apa yang saya nampak ialah tembok papan dan batu empat persegi seluas dua padang bola. Di keliling tembok ini ada pagar kawat berduri. Di setiap bucu tembok ini ada pula tangga kayu tinggi yang menghubung ke sebuah pondok papan pengawal yang beratap zinc. Di bucu tembok ini juga kelihatan lampu besar yang boleh dipusing-pusing sambil menyuluh jauh.
Sesiapa yang pernah menonton filem perang Dunia ke-2 pasti memahami bahawa inilah rupa bentuk kem tahanan tentera Nazi Hitler. Tembok dan kawat berduri yang saya lihat itu betul-betul seperti apa yang pernah saya lihat dalam filem The Bridge on the River Kwai. Hanya bukan soldadu Jepun atau askar Nazi German yang tegak berdiri di atas setiap bucu tembok.
|
Saya tidak berani bertanya kepada sesiapa pun tentang ’set’ ini sehinggalah bulan Mac 1998 apabila pecahnya berita kematian beberapa pendatang haram di kem tahanan Semenyih. Ketika kematian ini terjadi, saya masih lagi belum begitu arif tentang apa yang sebenarnya sedang terjadi di tanahair saya sendiri.
Ejen pendesak
Saya memang tahu tentang wujudnya pendatang haram yang dikurung kerana di sebelah lebuh raya Plus di kawasan Sungai Besi ketika itu, jelas dapat dilihat rumah panjang berkawat duri yang menempatkan pendatang Vietnam. Saya tidak sedar bahawa ketika itu telah sedia wujud 10 buah kem saperti yang saya lihat di Semenyih.
Bila membaca tentang orang pelarian/pendatang haram ini, hati saya menjadi sayu kerana saya sendiri juga bekas orang pelarian. Setelah pasport saya dirampas di Bangdad pada 1977, maka secara rasminya saya menjadi orang pelarian. Keadaan politik ini telah memaksa saya tinggal di Pakistan secara haram. Ertinya, saya menukar nama untuk memiliki identiti baru.
Ketika itu, revolusi Iran baru hendak bermula. Kami di Universiti Karachi adalah antara kumpulan mahasiswa pertama yang berani keluar menunjuk perasaan menentang Shah Reza Pahlevi walaupun dengan memakai karung menutup kepala kami. Akhirmya Shah yang didukung oleh kuasa imperial Anglo-Amerika jatuh dan melarikan diri ke Mesir.
Tidak kesemua anak mahasiswa yang bersentimen anti-Shah bersetuju dengan garis politik Imam Khomenei. Yang bersetuju dengan Imam Khomenei pulang ke Tehran. Kumpulan mahasiswa kiri yang anti-mullah, akhirnya menjadi orang pelarian seperti saya. Komunti pelarian politik kami bertambah apabila suasana politik di Tehran terus tidak menentu. Saya sering mendengar dan ternampak muka baru meninggalkan Iran untuk ke Pakistan untuk mencari perlindungan politik di Eropah atau Amerika Utara.
Saya rasa tidak ada sesiapa yang akan meninggalkan tanah tumpah darah mereka tanpa sebab musabab yang menyakinkan. Orang yang siuman tidak akan meninggalkan kaum keluarga, anak isteri dan sahabat handai dengan sehelai sepinggang jika tidak terdesak oleh tekanan politik. Juga tidak ada sesiapa yang akan meninggalkan tanahair mereka jika negara mereka aman, permai, tersusun tanpa kacau-bilau politik atau tidak dilanda perang atau bencana alam.
Manusia berpindah ke wilayah yang lebih selamat untuk mempertahankan zuriat. Manusia akan melakukan apa sahaja untuk menyambung zuriat manusia daripada pupus. Bencana alam, kemelesetan ekonomi dan perang, telah menjadi ejen pendesak yang memaksa manusia berpindah. Ribuan tahun dahulu, kita, orang Melayu pun berpindah dari kawasan yang jauh sebelum datang membuka kawasan semenanjung ini untuk mendirikan tamadun dan negara bangsa.
Perjanjian Pelarian
Sebelum saya menjadi orang pelarian di Pakistan, permintaan suaka politik saya pernah ditolak oleh kerajaan Australia. Ketika saya mengajukan permintaan itu, layanan terhadap si pemohon tidaklah seganas yang kita dengar/baca hari ini. Ketika menunggu jawapan, saya bebas dengan aktiviti budaya politik kemahasiswan bersama pelajar Australia ketika itu. Belum wujud dan tidak terlintas di kepala bahawa satu ketika nanti, akan wujud kem-kem tahanan yang terletak di kawasan pendalaman atau di tengah-tengah gurun pasir.
Hari ini, warga dunia masih terus diancam oleh bencana perang. Di Amerika Latin, di Selatan Eropah, di Timur Tengah, di Afrika, di Haiti, Afghanistan, Kashmir, Burma, Nepal, Nuigini, Acheh, Muluku – malah dimana-mana benua wujud perang kecil dan perang besar yang sedang membara. Semua ini adalah penjana kelahiran orang pelarian. Warga melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa.
Saya tidak tahu dan tidak memiliki statistik yang tepat tentang berapa ramai rakyat yang bukan warga Malaysia yang sedang memohon suaka dan perlindungan politik di negara ini. Saya difahamkan, semenjak meletus perang menuntut kemerdekaan di Acheh, 50,000 warga Acheh lari ke Malaysia mencari perlindungan. Krisis politik di Burma yang berlanjutan telah mendatangkan 10,000 rakyat Burma yang juga ingin mencari perlindungan politik.
Kerajaan Barisan Nasional yang dikepalai oleh United Malay National Organisation (Umno) – yang memerintah Malaysia hari ini, telah enggan menandatangani Perjanjian Pelarian 1951 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perjanjian ini muncul hasil daripada pengalaman Perang Dunia ke-2 di mana beratus ribu rakyat pelbagai negara berpindah randah akibat perang. Huru-hara di Eropah ini menimbulkan kesedaran mendalam bahawa semasa perang berlaku, yang menjadi mangsa utama ialah rakyat biasa.
Banyak negara kafir di Eropah yang tidak mengamalkan Islam Hadari, telah menandatangani Perjanjian Pelarian 1951 ini. Saya sendiri, ketika mendapat suaka politik dari Belgium dahulu, telah dilindungi oleh perjanjian 1951 ini. Di bawah perjanjian ini, sesiapa sahaja yang didiskriminasi kerana pandangan politik, pandangan agama atau kerana warna kulit, kerana bahasa/budaya berbeza, akan dilindungi.
Saya memohon suaka politik ketika saya ditahan di penjara Bombay (Mumbai), India. Wakil PBB datang ke dalam penjara untuk menemubual saya. Melalui temubual itu, wakil PBB ini mengajukan cadangan kepada beberapa negara yang mungkin sanggup menerima saya. Saya telah menolak Kanada kerana saya rasakan negara ini terlalu jauh dari Malaysia. Akhirnya saya diterima oleh Belgium – sebuah negara kafir dan negara pengeluar beer yang terbaik di Eropah.
Pengalaman di Belgium
Di Belgium, saya telah diberi hak setaraf dengan rakyat Belgium. Ertinya saya boleh menyambung pelajaran di universiti sama seperti anak mahasiswa tempatan. Saya menerima biasiswa sama seperti pelajar Belgium. Saya boleh melamar kerja jika saya telah memiliki latihan yang diperlukan. Saya juga dibenarkan mengundi. Setelah tiga tahun tinggal di Belgium, saya ditawarkan sama ada ingin menjadi warga negara Belgium atau terus ingin menjadi warga negara asal.
Saya juga telah diberi ‘passport’ yang membenarkan saya pergi ke mana sahaja dalam dunia ini kecuali Malaysia. Cuma dua perkara yang dilarang – saya tidak digalakkan untuk menjadikan Belgium sebagai tempat untuk saya menentang seteru politik saya. Dan saya dilarang bertanding merebut jawatan awam seperti ahli Parlimen atau ahli majlis tempatan. Selain daripada ini, saya setaraf dengan warga tempatan.
Pengalaman menjadi orang pelarian politik di Belgium memaksa saya mengkagumi falsafah dan cara pengurusan negara-negara kafir yang menandatangani Perjanjian Pelarian 1951 ini. Kesemua negara yang menanda tangani perjanjian ini, rasa saya, belum lagi mengamalkan Islam
Hadhari. Atau besar kemungkinan warga mereka belumpun terdengar bunyi perkataan ini. Walaupun tanpa Islam Hadhari, sambutan dan pengurusan mereka terhadap orang pelarian boleh dicontohi.
Hormat kemanusiaan
Dalam masa yang sama, saya terfikir kenapa agaknya negara yang mengamalkan Islam Hadhari ini amat ganas sekali tingkah lakunya apabila berhadapan dengan pelarian politik. Perjanjian Pelarian 1951 hanyalah satu daripada berbelas perjanjian antarabangsa yang dicadangkan oleh PBB demi kesejahteraan umat manusia. Tetapi kenapa perjanjian-perjanjian untuk kebaikan manusia ini enggan ditandatangani.
Kerana ini, saya tidak dapat melihat ketamadunan yang dimunculkan apabila kita tidak memberi hormat kemanusiaan kepada insan walaupun insan yang bukan warga negara kita. Umum mengetahui bagaimana pihak yang memiliki kuasa dan yang berupaya menguatkan kuasa, sering berlaku ganas terhadap orang asing ini. Kes kematian pendatang haram dari Acheh yang dibunuh pada 1998 dahulu masih belum diketahui hujung pangkalnya. Saya juga mengetahui kes di mana ibu dan anak kecil ditahan berbulan-bulan hanya kerana mereka tidak memilki kertas perjalanan yang putih dan saheh.
Umum juga mengetahui bagaimana orang pelarian ini sering dijadikan mangsa ‘pau’ oleh pasukan penguatkuasa. Malah ramai orang pelarian politik dan juga pendatang asing ini yang dijadikan sumber duit poket atau duit belanja raya oleh pihak penguatkuasa undang-undang. Di negara Islam Hadhari ini bukan sahaja kehidupan mereka selalu dipersusahkan, malah hak mereka untuk mencari pendapatan yang halal pun dipersempitkan.
Ketika saya mula sampai ke Belgium, saya disediakan tempat tinggal yang saya kongsi bersama berbelas-belas pelarian politik dari pelbagai negara. Ertinya, saya tidak akan merempat mati kesejukan di tepi jalan. Dua minggu kemudian saya dimasukkan ke sekolah untuk mempelajari bahasa tempatan. Dua bulan kemudian saya memiliki bilik saya sendiri dan menerima dana bulanan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Pada 1993, saya melawat sebuah pulau bernama Aland. Pulau yang didiami 22,000 penduduk ini, walaupun dalam negara Finland, tetapi mereka berbahasa dan berbudaya Swedish. Di satu pagi saya pergi ke perpustakaan untuk mencari akhbar Inggeris. Saya terperanjat apabila saya terlihat di rak akhbar terpampang Kahyan International dari Iran – akhbar harian yang menggunakan setengah bahasa Inggeris dan setengah tulisan bahasa Parsi.
Apabila diselidiki, saya diberitahu bahawa di Aland ada satu keluarga dari Iran yang mendapat suaka politik. Warga Aland menerima keluarga pendatang ini dengan tangan terbuka. Akhbar Kahyan International telah dilanggan, khusus agar keluarga Iran ini tidak terputus hubungan dengan berita dan budaya tanahair mereka. Jawapan ini menusuk hati saya dan tidak mungkin akan lupakan sepanjang hidup saya.
Pengalaman saya sebagai pelarian politik di negara kafir amat berbeza daripada apa yang sedang berlaku di negara-negara Islam yang Hadhari dan yang tidak Hadhari. Di negara-negara ini, bukan sahaja warga yang tidak seagama diperlakukan sewenang-wenang, malah yang seagama pun, seperti warga Acheh, akan ditibai sehingga mati.
Minggu ini, dunia memperingati berjuta-juta orang pelarian di seluruh pelusuk dunia. Saya sedar, di dalam negara kita ini, ada beribu-ribu yang sedang ditahan di lokap dan di kem tahanan. Ada yang lari kerana tekanan politik. Ada yang lari kerana tekanan ekonomi.
Tiada garis pemisah
Bagi saya, tiada garis pemisah antara yang datang kerana politik atau yang datang kerana ekonomi. Masalaah yang dihadapai oleh pelarian politik atau ekonomi sama sahaja. Lari kerana politik, asas politik itu adalah ekonomi. Lari kerana ekonomi, asasnya ialah politik. Penindasan, penghinaan dan keganasan yang mereka hadapi tidak akan membeza-bezakan mereka.
Bila tergambar rupabentuk kem tahanan Semenyih itu, saya teringat semula kepada kem tahanan di Kamunting. Tidak bayak perbezaan. Mungkin di kem tahanan pendatang haram ini penghuninya lebih padat. Mungkin juga ada anak kecil dan bayi yang baru dilahirkan. Jika apa yang saya sangkakan ini betul, maka apa yang sedang berlaku di kem-kem ini tidak jauh bezanya dari kem-kem Nazi yang pernah kita lihat dalam filem perang Dunia ke-2.
Cuma yang berbeza kem-kem dalam filem-filem ini hanyalah hasil arahan citarasa David Lean atau Spielberg. Para tahanan hanyalah pelakon tambahan yang disolek untuk memperlihatkan kesengsaraan. Manakala warga tahanan di kem-kem pendatang haram yang wujud di negara kita ini, merasakan kesengsaraan yang betul-betul sengsara.
Mereka merasakan keperitan hidup yang dapat dirasakan jika kita memiliki fitrah kemanusiaan. Kesengsaraan dan keperitan di kem ini bukan satu solekan. Cuma yang menjadi pengarah di kem-kem ini adalah diri kita sendiri. Kita semualah yang bertanggung jawab kerana kita membenarkan penindasan dan kesengsaraan dilakukan di atas nama kita semua.



No comments:
Post a Comment