Tuesday, April 20, 2010

KISAH HAJI AHMAD DOBI

HAJI AHMAD DOBI

Haji Ahmad Dobi yang berasal dari Alor Setar pernah memberitahu kepada saya bagaimana beliau telah bertemu dengan seorang yang lebih tua darinya dalam penerbangan pulang dari Amerika Syarikat melalui Singapura. Dia telah menjemput kedua orang tua yang hendak ke Singapura itu supaya meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Dia telah memberi layanan yang sungguh istimewa kepada kedua orang tua ini bila mereka tiba-tiba terpikat dengan pujukan Haji Ahmad dan sampai juga perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Mereka begitu puas dan gembira dengan layanan Haji Ahmad, walau pun Haji Ahmad baru sahaja mengenali mereka di dalam kapal-terbang. Mereka sungguh terpikat dengan keindahan Kuala Lumpur sehingga berjanji untuk datang lagi.

Haji Ahmad terkejut bila beliau ditawarkan saham dalam syarikat milik pelancung tua tadi yang membuat keputusan untuk melabur di Malaysia. Haji Ahmad menjadi jutawan sebagai pemegang saham dalam syarikat Motorola milik pelancong tua itu.

Apakah itu nasib namanya? Mungkin. Tetapi orang tidak tahu bahawa Haji Ahmad adalah seorang ahli perniagaan beras yang gigih. Beliau nasihatkan saya di waktu saya sedang menaja Koperasi SHAMELIN supaya membeli barang dengan harga yang tertinggi dan menjualnya dengan harga semurah mungkin. Kalau kita beli dengan harga yang tinggi semua orang hendak jual kepada kita dan kalau kita jual dengan harga yang termurah orang ramai akan beli dari kita. Beliau menasihatkan saya supaya tidak berhasrat untuk jual sedikit untuk mendapat untung yang banyak. Sebaliknya cuba menjual dengan banyaknya walaupun kecil untung bagi tiap seunit. Kita dapat menguasai pasaran jika banyak jualan. Ilmu ini Haji Ahmad perolehi dari pengalaman.

Haji Ahmad mulanya jual beras di Alor Setar tetapi dia yakin jika dia ingin lebih berjaya dia perlu berkenalan dengan orang-orang yang telah berjaya. Dia buat kesimpulan bahawa orang yang berjaya tentunya naik kapalterbang di kelas satu dan tidak di kelas ekonomi. Tetapi untuk naik kelas satu harganya terlalu mahal dan diluar kemampuannya. Dia selidik dan mendapat tahu jika dia memiliki perniagaan ejen jual tiket kapal-terbang dia boleh berjalan kesana-sini dengan bayaran sekitar 10 peratus dari tambang sebenar dan ada kalanya tidak perlu bayar apapun bila ada promosi. Dia pun memulakan perniagaan sebagai ejen jual tiket kapalterbang. Itulah sebabnya setelah beberapa kali perjalanan melintasi benua dengan menaiki kelas satu salah seorang yang berjaya yang dia temua ialah pelancong tua pemilik Motorola tadi. Inikah yang dikatakan nasib?


******

No comments:

Post a Comment