Bahasa ku ini tidak lah seindah bahasa Shahnon Ahmad. Belum pandai aku berpuisi seperti Azizi atau Nahmar Jamil.
Pernah menulis.
Pernah sekali puisi saya muncul di dada akhbar MM berjudul " Dari Seorang Pengembara" semasa bertugas di Nw Zealand (1978-1981) . Keratan akhbar sajak tersebut yang dihantar oleh anak saudara saya Othman Mat telah hilang dalam simpanan.
Pernah juga artikel yang memaparkan suasana pelajar kita di New Zealand disiarkan di akhbar MM, yang saya tulis semasa bertugas di Jabatan Penuntut-Penuntut Malaysia di Wellington (1978-1980). Majallah Mustika juga pernah menerbitkan hasil terjemahan saya semasa bertugas di Port Moresby , mengenai kesilapan mensenyawakan sperma manusia secara permanian beradas kepada kambing di Australia. Yang lahir ialah bayi manusia (1986-1989). Buletin sekolah pun ada juga menyiarkan penulisan saya. Itu saja yang saya ingat.
Pernah berjumpa Pak Nujum.
Yang bagusnya saya pernah bertemu seorang penulis tersohor tanahair iaitu Tuan Syed Hussin al Attas ( Pak Nujum ) semasa beliau singgah di Port Moresby dalam perjalanan beliau ke Marshal Island di Kepulauan Pasifik.
Nak jadi penulis.
Saya memang ingin nak jadi penulis. Tapi kurang keyakinan. Maklumlah ilmu hanya secangkir kopi yang airnya nun jauh didasar cawannya. Sekarang ini saya menghitung umur yang sudah dihujung perjalanan hidup. Terasa rugi kalau terbiar keinginan itu sejuk kaku bersama jasad bila sampai waktu dibawa ke pusara.
Berikut ini beberapa kenangan yang masih segar dalam memori.
Tamat persekolahan:
Lulus SPM gred 3 tahun 1967 di SMK Bukit Mertajam ( Ada orang kata SMK itu bermaksud ‘ Sangkut Mek Kelantan”. Ya lah! Mungkin ada kawan-kawan saya yang sangkut Mek Kelantan. Apalah salahnya. Mek Kelantan atau pun Mek Ganu. Satu Malaysia.
SPM Gred 3 nak buat apa?. Nak cari kerja di mana? Kerja apa? Melilau dengan basikal yang dibeli dengan wang Biasiswa Kecil Persekutuan yang diterima sebanyak RM20.00 sebulan. Biasiswa ini diuruskan oleh Cikgu Abu Hassan bin Abdul Rahman. Saya masih ingat Cikgu Abu Hassan arahkan supaya saya dapatkan tandatangan ayah dan serah balik kepada beliau esok.
Cikgu kita ayah kita.
Satu sikap yang ada dalam diri saya ialah, menggap semua guru-guru yang disenangi sebagai ayah sendiri seperti Cikgu Ismail Zakaria, Cikgu Darus Ahmad , Cikgu Wan Din, Cikgu Sheikh Khalid dan beberap orang lagi termasuk Cikgu Abu Hassan..
Berhijrah ke Kuala Lumpur.
Dalam keadaan melilau mencari hala tuju selepas SPM Gred 3, Encik Ishak Hamid dari Sungai Semilang, seorang pelajar STAR Ipoh, mencadangkan supaya saya ke K.L. melanjut pelajaran disana . Memang boleh kerana Pak Su saya Ustaz Ishak Ibrahim, adik emak , sedang bertugas di Sekolah Aminuddin Baki, Kg pandan.
Kiriman Telegram:
‘Tunggu KL 7 April mel pagi” Bunyi telegram yang saya hantar kepada Pak Su.
Pertama kali naik keretapi.
Pengalaman pertama naik keretapi dari Bukit Mertajam ke Kuala Lumpur. Duit tambang aku rasa ayah aku yang bagi. Masa itu arwah ayah juga ada disana, berjaja kain dikakilima Jalan Tuanku Abdul Rahman. Naik keretapi malam dan sampai pagi hari. Tak banyak yang boleh dilihat tambahan hati dalam berdebar-debar. Sebelumnya saya dengar bunyi keretapi dan wiselnya dari kejauhan dikampung dengan stesennnya di Buit Mertajam. Nama tersebut terbit kerana banyaknya pokok mertajam di atas bukit yang menjadi tunjang daerah itu.
Bukannya mimpi.
Bagaikan mimpi, saya sudah berada di Kota Kosmopilitan Kuala Lumpur. 7hb. April 1967. Pak Su mengambil di stesen keretapi KL dan saya masih ingat kami naik bas Sri Jaya dari Jalan Sultan Muhamad di tepi sungai, ke Jalan Hale, Kampng Baru. Rumah sewa kami letaknya disitu. Aku difahamkan rumah tersebut milik keluarga Bob Mustapha pelakon filem yang telah diketengahkan pada masa itu.
*********



No comments:
Post a Comment